"Saya terlupa zip beg duit sebab tu duit berterbangan di jalanan"

Kuala Lumpur: Tanda tanya mengenai kisah wang kertas RM50 bertaburan di Lebuhraya Bukit Timah Expressway (BKE), Singapura, dan dikutip pengguna jalan raya Isnin lalu yang ‘viral’ di alam siber, akhirnya terjawab, apabila Harian Metro berjaya menjejaki pemilik wang berkenaan dan jumlah sebenar wang yang bertaburan itu.

Wang berkenaan adalah milik pengurup wang yang juga rakyat Malaysia dari Skudai, Johor, Jihad Dudden Shaik Ali Khan, 24, dan dia memaklumkan jumlah keseluruhan wangnya yang tercicir itu adalah RM150,000.

"Saya anggap apa yang berlaku bukan rezeki dan mungkin ada hikmahnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, petang tadi.

Menceritakan kejadian itu, Jihad berkata, dia tidak sedar zip beg disandang yang mengandungi sejumlah wang terbuka menyebabkan wang itu berterbangan dan bertaburan di atas jalan raya.
"Ketika kejadian pada 6.20 petang itu saya sedang dalam perjalanan menunggang motosikal jenis Yamaha untuk berjumpa seorang pelanggan, namun selepas tiba di Orchard Road saya mendapati zip beg terbuka luas dan sebahagian wang hilang.

"Lima minit kemudian ayah menghubungi saya dan beritahu ternampak pengguna jalan raya mengutip wang yang bertaburan di atas jalan raya selain turut memaklumkan kemungkinan itu duit saya," katanya.

Jihad berkata, dia segera kembali ke lokasi yang dilalui iaitu di sepanjang lebuh raya berkenaan dan terkejut apabila terlihat seorang lelaki mengutip wangnya yang bertaburan itu.

"Saya mendekati lelaki itu, tetapi selepas ternampak saya di terus melarikan diri dengan wang sebanyak RM200 daripada RM250 yang ada di atas jalan raya itu. Saya hanya sempat mengambil RM50 yang ditinggalkan lelaki terbabit," katanya.

Katanya, sepanjang lebih tiga tahun menjadi pengurup wang, kejadian itu adalah kali pertama di alaminya dan ia memberi pengajaran yang amat berharga.

"Apa pun saya reda dan benda ini sudah pun berlaku. Mungkin itu bukan rezeki saya sebaliknya percaya pasti ada hikmahnya.

"Saya juga baru dua bulan berkahwin dengan Norashikin Abd Kadir, 21, dan tidak menyangka semua ini akan berlaku," katanya.

Jihad sudah membuat laporan polis di Singapura pada hari sama, jam 8.38 malam.

Video wang bertaburan dan jalan raya menjadi sesak berikutan ramai berhenti untuk mengutip wang berkenaan dimuat naik oleh Reckless Drivers Community di YouTube sebelum ia menjadi ‘viral’. Sumber: Ketumviral

0 Response to ""Saya terlupa zip beg duit sebab tu duit berterbangan di jalanan""

Post a Comment