‘Sama tapi belum pasti’ - Bangkai pesawat MH370 akhirnya ditemui?


Pulau Reunion (Madagascar): Selepas lebih setahun hilang, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 mungkin ditemui apabila satu objek dipercayai serpihan sayap daripada bahagian pesawat ditemui hanyut berhampiran pantai Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi, semalam.

Serpihan sepanjang dua meter itu ditemui penduduk yang membersihkan pantai berkenaan.

Seorang saksi berkata, ia dilitupi cengkerang, menunjukkan ia sudah berada dalam air untuk sekian lama.

Pakar keselamatan penerbangan, Xavier Tytelman berkata, tidak boleh dinafikan serpihan itu
daripada pesawat MAS MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Katanya, berdasarkan gambar serpihan berkenaan, ia ada persamaan dengan #B777 'flaperon' merujuk kepada Boeing 777, jenis pesawat yang hilang itu.

Sementara itu, Pegawai Tentera Perancis, Christian Retournat berkata, serpihan itu kelihatan seperti sebahagian daripada sayap pesawat dan dibawa ke pulau Reunion pagi semalam (waktu tempatan)
“Terlalu awal untuk mengesahkan ia milik MH370 atau tidak. Kita baru menemui serpihan itu pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Telegraph.co.uk pula melaporkan, Tytelman percaya serpihan itu dari pesawat MH370.

Bekas juruterbang yang kini bertugas sebagai pakar keselamatan udara berkata, dia dihubungi oleh seorang penduduk pulau berkenaan dan menghantar gambar serpihan itu kepadanya.

“Saya sudah mengkaji beratus-ratus gambar dan berbincang dengan rakan sekerja.

“Kami yakin ia menyerupai bahagian sayap Boeing 777 - pesawat yang sama dengan MH370.

“Polis di Reunion yang memeriksa serpihan itu berkata ia kelihatan sudah berada di dalam air lebih kurang setahun, menambah lagi keyakinan ia dari MH370. Kami tak boleh pastikannya, tapi kami fikir ada peluang (ia dari pesawat MH370),” katanya.

Berita mengenai penemuan itu sudah tersebar di laman sosial dan ramai beranggapan serpihan itu adalah bahagian pesawat MH370.

Sehingga kini masih tiada sebarang pengesahan bahawa serpihan itu benar-benar dari pesawat MH370

Serpihan itu sudah diambil pihak berkuasa tempatan untuk dianalisis.

Pesawat yang membawa 239 penumpang itu hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 Mac 2014 mengumumkan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66962#sthash.2VaF525t.dpuf

0 Response to "‘Sama tapi belum pasti’ - Bangkai pesawat MH370 akhirnya ditemui?"

Post a Comment